Thursday, December 30, 2010

Doa pendinding dari segala gangguan

بِسْمِ اللهِ اْلَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اْسمِهِ شَئٌ فيِ اْلأَرضِ وَلَا في اْلسَّمَاءِ وَهُوَ اْلسَّميِعُ اْلعَلِيمُ


Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;

Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;


• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.


• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.


Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.


Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.


Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.


Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.


Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.


Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.


Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus


Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.


Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.


Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.


Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah




sumber: Darussyifa.org

Wednesday, October 13, 2010

Apa itu kayu koka?


Awasi unsur-unsur syirik jika guna kayu Koka'

Oct 12, 2010 Haron Din

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka?

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,
Damansara, Selangor











Jawapan

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk ‘madi’ seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam Sabdanya (mafhumnya); “Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT.” (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti ‘assina’ dan ‘assinut’. Dalam al-Quran disebut ‘at-tiin’, ‘az-zaytun’, ‘ar-rummaan’, ‘an-nahiil’ dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, “Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian.”

Umar menjawab; “Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya.” Lalu Nabi berkata kepadanya, “Perlahankan sedikit.”

Wallahua’lam.



Tuan Guru Dato' Dr. Haron din


teks asal sila klik sini

Friday, September 24, 2010

Bid'ahnya Anggapan Sial Menikah Di Bulan Syawwal


Bid'ahnya Anggapan Sial Menikah Di Bulan Syawwal

Abdullah bin Abdul Aziz At Tuwaijiry

Ibnu Manzur berkata: "Syawwal adalah termasuk nama bulan yang telah dikenal, iaitu nama bulan setelah bulan Ramadhan, dan merupakan awal bulan-bulan haji." Jika dikatakan Tasywiil (syawwalnya) susu unta bermakna susu unta yang tinggal sedikit atau berkurang. Begitu juga unta yang berada dalam keadaan panas dan kehausan.

Orang Arab menganggap sial ( malang) bila melangsungkan aqad pernikahan pada bulan ini dan mereka berkata: "Wanita yang hendak dikahwini itu akan menolak lelaki yang ingin mengahwininya seperti unta betina yang menolak unta jantan jika sudah bunting dan mengangkat ekornya."

Maka Nabi s.a.w. membatalkan anggapan ‘sial’ mereka tersebut, dan Aisyah berkata: "Rasulullah menikahiku pada bulan Syawwal dan berkumpul denganku pada bulan Syawwal, maka siapa di antara isteri-isteri beliau yang lebih beruntung dariku?" (HR. Ahmad dalam Musnad-nya, VI/54, Muslim dalam shahihnya II/1039, kitab An-Nikah, hadits nombor 1423, At-Tirmidzi dalam Sunan-nya II/277, Abwab Annikah, hadis nombor 1099. Beliau berkata: Ini hadis hasan sahih. An-Nasai dalam Sunan-nya, VI/70, kitab An-Nikah, bab "Pernikahan pada Bulan Syawal. Ibnu Majah dalam Sunan-nya, I/641, kitab An-Nikah, hadits nombor 1990.)

Maka yang menyebabkan orang Arab pada zaman jahiliyah menganggap sial menikah pada bulan syawwal adalah kerana keyakinan mereka bahawa wanita akan menolak suaminya seperti penolakan unta betina yang mengangkat ¬ekornya, setelah bunting.

Berkata Ibnu Katsir – rahimahullah - : "Berkumpulnya Rasulullah s.a.w. dengan Aisyah r.ha pada bulan syawwal merupakan bantahan terhadap keraguan sebahagian orang yang membenci untuk berkumpul (menikah) dengan isteri mereka di antara dua hari raya, kerana khuatir bakal terjadi perceraian antara suami-isteri tersebut, pada hal ini perkara ini tidak ada kaitan langsung " (Al Bidayah Wan Nihayah III/253)

Anggapan sial menikah pada bulan Syawwal adalah perkara batil, kerana anggapan sial itu secara umum termasuk ramalan (undi nasib) yang dilarang oleh Nabi s.a.w sebagaimana sabda beliau: عدوى و لا طير لا "Tidak ada penyakit menular dan tidak ada ramalan (nasib) sial". (HR. Al Bukhari dalam sahihnya cetakan bersama Fathul Bari (X/215) kitab At Thib. Hadits nombor : 5757. Disahihkan Al Albani dalam Sahih Al jami' No. 7530)

Dan sabda Rasulullah s.a.w : الطيرة شرك "Ramalan nasib adalah syirik." " (HR. Ahmad dalam mus

nadnya (I/440). Abu Daud dalam sunannya (IV/230) kitab at Thib Hadis nombor : 3910. At Tirmidzi dalam sunannya (III/74,75) Abwab As Sair, hadis nombor : 1663. beliau berkata : hadis hasan shahih. Ibnu Majah dalam sunannya (II/1170) Kitab At Thib nombor hadits : 3537. Al Hakim dalam Mustadzraknya (I/17,18) kitab Al Iman beliau berkata : hadis yang sahih sanadnya, thiqah rawi-rawinya dan bukhari dan muslim tidak mengeluarkan dalam shahih keduanya. Dan disepakati Ad Zahabi dalam talkhishnya. Disahihkan pula Al Albani dalam Shahih Al Jami' No : 3960)

Begitu juga sama halnya dengan anggapan sialnya di bulan Safar.

Berkata Al Imam An-Nawawi –rahimahullah- dalam menjelaskan hadis Aisyah r.a. di atas : "Hadis itu menunjukkan bahawa disunnahkan menikahi, menmperistri wanita dan berkumpul (menggauli) pada bulan Syawwal dan sahabat-sahabat kami juga menyebutkan sunnahnya hal itu dan mereka berdalil dengan hadits tersebut."

Aisyah sengaja berkata seperti tersebut di atas untuk membantah tradisi orang-orang jahiliyyah dan apa yang dikhayalkan sebahagian orang awam pada saat ini, iaitu tidak sukanya mereka menikah dan berkumpul pada bulan Syawwal. Dan hal ini adalah batil dan tidak ada dasarnya, dan termasuk peninggalan jahiliyyah di mana mereka meramalkan hal tersebut dari kata syawwala yang ertinya mengangkat ekor ( tidak mau dikahwini)." (Syarah shahih Muslim oleh Imam an Nawawi (IX/209).

Wallaahu a'lam Bishawab.

(Kitab Al Bida' Al Hauliyyah karya : Abdullah bin Abdul Aziz At tuwaijiry. Cet. I Darul Fadhilah Riyadh, Hal. 348-349. Penterjemah : Muhammad Ar Rifa'i)

Wednesday, August 4, 2010

Apakah Ilmu Guna-Guna atau Minyak Dagu?

Assalamualaikum semua,,,berjumpa lagi kita dalam blog ini,,untuk kali ini ana nak bawakan sesuatu untuk dikongsikan bersama, mungkin ada dikalangan kita yang pernah mendengar atau melihat, mungkin juga ada yang pernah memilikinya, apa yang ana maksudkan di sini ialah Minyak Dagu…

Dibawah ini ana ada sertakan beberapa maklumat, ciri-ciri, cara, dan kesan minyak dagu ini, bukan niat ana hendak memperhebatkan tentang minyak syirik ini (oh,,,sekali-kali tidak, Baik bincang minyak petrol lagi bagus) Cuma ana coretkan di sini hanyalah untuk tatapan dan ingin berkongsi bersama mereka – mereka yang berminat mendekatkan diri kepada Allah seterusnya menjauhi amalan stirik ini…selamat membaca…



3 JENIS TAHAP MINYAK DAGU :

TAHAP 1 – Belum Bertuan
TAHAP 2 – Sekali Calit Berkesan
TAHAP 3 – Minyak Dagu Suruhan

Medium Perantaraan.. (roh manusia atau Jin atau hantu raya)
Ada juga yang berkata seorang mayat hanya boleh dibuat untuk satu botol atau seorang tuan saja..Ada nama si mati akan dipanggil..Tetapi yang peliknya ada bomoh membuat minyak ini berpuluh botol pada satu mayat..

Ada yang berkata kalau nak minyak dagu yang berkesan pergi ambil sendiri.

Minyak dagu ni dah banyak gred.

Gred pertama yang originalnya dari orang yang mati sama..Lebih bagus kalau orang yang mati dibunuh dengan kejam..Ada juga diambil dari perempuan yang mati kemalangan..Ada juga yang diambil dari perempuan mati beranak..Ada juga minyak ini diambil dari buah dada dan dagu..atau apa jua anggota mangsa..

Gred kedua pulak dari sembelihan beruk,monyet atau mawas.Ikut jenis dan warna la. Ada juga dibuat dari kerbau kot..

Yang paling murah pulak dari jenis anjing hitam.

Apakah Kegunaan Kegunaan Minyak Dagu?
Minyak dagu yang asli gred tinggi boleh disuruh melakukan tugas berat seperti menggerakkan sesuatu barang serta merta seperti menolak kereta..Biasanya minyak ini sangat berat..Ada cerita mengatakan kapal terbang pun tak boleh berlepas..Boleh dilihat dan diuji dengan mata kasar sesuatu bukti itu.

Boleh membunuh musuh atau pukulan jarak jauh…Lebih hebat dari silat Gayong batin..Boleh mematah-matahkan kaki musuh beberapa minit sahaja..Boleh menyakitkan mangsa serta merta…

Boleh mendapatkan cinta berahi dan seks atau mengikat pasangan sehingga akhir hayat

Boleh membuat aniaya kat kedai atau premis orang lain supaya perniaagaan tidak laku....

Ia juga boleh diperintah apa saja..Seperti cerita lampu aladin.

.


Kebanyakan yang asli dari siam dan utara semenanjung..Ia amat sukar dibawa semasa hujan kerana petir akan menyambar jika di bawa secara terbuka pada waktu tersebut.Jika ingin membawa semasa hujan perlu disimpan didalam sesuatu yang neutral. Berhati-hati semasa membawa menyeberangi sungai..Dan hindarkan merentasi lautan..Jika minyak ini tidak digunakan ia akan disimpan kedalam tanah untuk mengelakkan disambar petir. Ada rahsia mengenai minyak dagu ini untuk mengelakkan dari disambar petir..namun hanya diketahui caranya oleh bomoh berpangkat tinggi seperti sami ACARN sahaja.


Kita sering mendegar mengenai puja dan di jampi oleh Tok Bomoh, seperti minyak dagu, minyak berpuja, ada juga yang menjampi dengan barang-barang lain seperti

- Telur ayam,

- Kulit kerbau balau yang mati di panah petir,

- Tulang orang mati,

- Tulang@ kulit babi,

- Tulang kongkang,

- Besi bath siam,

- Tahi besi,

- Paku,

- Rambut, gigi,

- Patung siam,

- Tanah kubur,

- tengkorak,

- Batu tokong siam atau tokong hindu,

Dari segi mentalitinya kita lihat ia amat menggerunkan..Tapi kejahilan sesetengah orang melayu kita yang hanya dengar dan percaya pada benda syirik ini tidak menjadi masaalah untuk mereka buat apa sahaja, seperti memiliki minyak ini untuk dibuat tangkal..Padahal tanpa tangkal pun kita mampu melakukannya

Apakah hukum Menggunakan minyak ini?

- Mendapat lutukan dari Allah.

- Berdosa besar

- Syirik

- Kekal di dalam neraka.

Kesimpulannya janganlah kita sekali-kali melakukan syirik terhadap Allah s.w.t kerana dosa ini tidak akan diampunkan oleh Allah, Mengguna, mempercayai, menyimpan, meyakini sesuatu lebih berkuasa dari Allah adalah syirik, jika kita berkehendak mendapatkan sesuatu hajat maka mohonlah dengan Allah, dan gunalah cara yang dihalalkan oeh syarak…ingat sahabat semua,,,Matlamat tidak sekali-kali menghalalkan cara.

Wallah hu A’lam

klik sini untuk dowload slide show minyak dagu