Assalamualaikum.
setelah lama menyepi dari mengupdate blog ini kali ini saya kembali lagi dengan satu artikal berkaitan dengan permasalahan sakit dan penyakit.
mengapa Allah mengenakan manusia dengan kesakitan? dan mengapa Allah turunkan penyakit kepada manusia? adakah sia-sia atau ada sesuatu yang kita sememangnya tidak mengetahui hakikat itu,,,,
jom kita baca..
antara sebab sebab Allah mengenakan kesakitan kepada manusia adalah seperti berikut..
I. MENGHAPUSKAN DOSA
Tidak ramai yang boleh terima hakikat ini walaupun ramai yang mengetahuinya, setiap kesakitan yang kita alami adalah satu pengampunan dosa dari Allah, disini bukanlah bermaksud agama menyuruh kita berdiam diri dan tidak perlu berikhtiar untuk penyembuhan, sebaliknya ikhtiar itu perlulah kita sertakan dengan tawakkal, inilah cara yang terbaik, selain ikhtiar dengan ubat-ubatan yang sedia ada maka kita harus ingat bahawa penyembuhan yang sebenarnya ada milik mutlak Allah s.w.t, jangan sampai kita berikhtiar dan merungut sehingga ibarat memaksa Allah untuk menyembuhkan kita.
Sebagai seorang pendosa, musibah atau sakit yang ditanggungnya merupakan salah satu jalan untuk Allah menghapuskan setiap dosa hambaNya. Bahkan ia seharusnya dilihat sebagai satu terapi untuk menggugurkan kesalahan dan noda pada diri anak Adam, sebagai manusia biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak, sedangkan dosa itu sebenarnya menjauhkan diri kita dengan Allah. Jadi hikmah diturunkan kesakitan atau bala bencana itu adalah sebagai cara untuk Allah menghapuskan dosa kita berkenaan.
Ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam satu lagi riwayat yang lain, Rasulullah bersabda bahawa dengan hanya tertusuk duri sekalipun, Allah bersedia untuk meninggikan darjat seseorang itu dan menghapuskan satu kesalahan dirinya. Jadi, jangan kita pandang sakit itu sebagai penderaan dan jangan pula mudah berburuk sangka kepada Allah.Bahkan sebaiknya kesakitan atau musibah itu dipandang sebagai nikmat Allah untuk membersihkan diri kita daripada segala dosa dan noda.
II. MENINGKATKAN DARJATKEIMANAN
Penyakit dan musibah yang menimpa seseorang merupakan jalan untuk Allah s.w.t meninggikan darjat seorang hambaNya.Kisah Nabi Ayyub merupakan contoh yang terbaik.Nabi Ayyub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah s.w.t, walaupun ditimpa dengan ujian yang amat berat namun belaiu masih mampu berbaik sangka kepadaNya.Sudahlah dirinya ditimpa penyakit, isteri-isterinya juga menjauhkan diri, namun Nabi Ayyub tetap bersabar menerimanya sehinggalah Allah s.w.t mengembalikan semula kesihatan dan ditinggikan pula darjat di sisiNya.Sesungguhnya, kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan mempunyai hikmah yang besar, ujian dari Allah s.w.t datang kepada manusia-manusia yang Allah pilih sahaja.Kita hendaklah bersyukur sekiranya musibah datang kepada kita kerana kita adalah di antara hamba-hambaNya yang Allah s.a.w pilih untuk diduga.
Kesakitan atau bala bencana yang menimpa seseorang juga merupakan jalan untuk Allah meninggikan darjat seorang hamba-Nya. Walaupun ia mungkin dilihat sebagai teruk di mata manusia, namun hikmahnya hanya Allah yang mengetahui.
III. TANDA KASIH ALLAH S.W.T
Sebenarnya, penyakit yang menimpa adalah antara ujian dari Allah s.w.t. Namun dalam tidak sedar, ujian penyakit yang kita hadapi itu adalah guru yang mengajar dan mendidik kita agar kita menjadi manusia yang lebih baik,jangan sesekali kita berburuk sangka kepada Allah di atas musibah yang menimpa, seringkali kita mendengar keluh kesah pesakit yang menderita penyakit-penyakit kronik, ada yang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka sebegitu. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga,penyakit yang dideritai hadir di saat kehidupan mereka yang kian kesempitan, Ada antaranya menyatakan rasa iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan memperoleh kesenangan dan kesihatan secara berterusan, hakikatnya, inilah asam garam kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah,sebagai hambaNya kita juga harus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan.Setiap sesuatu ketentuan dan musibah perlu dihadapi dengan bijak, tenang serta berserah tanpa kompromi kepada Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t :
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِالصَّابِرِينَ
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya:“Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.”(al-Baqarah 155-157)
Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah ditempuhi dengan sabar, redha dan bertawakal kepadaNya. Terus menerus berusaha mencari penawar dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan rahmat agar keadaan penyakit yang dihadapi akan lebih baik. Sudah tentu dengan penyakit yang menimpa, kita akan sentiasa berdoa pada Allah s.w.t dan secara tidak langsung keimanan kita akan bertambah dari satu darjat ke darjat yang lain. Musibah adalah tanda kecintaan dan kasih Allah s.w.t kepada hambaNya, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya besarnya pahala yang kita perolehi bergantung besarnya dugaan, dan Allah s.w.t apabila mencintai suatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Barang siapa yang redha, maka ia akan mendapatkan keredhaan-Nya dan barang siapa yang kesal terhadapnya, maka ia akan mendapatkan kemurkaan-Nya.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
IV. MENGHAPUSKAN SIFAT EGO
Wajib bersyukur diatas segala nikmat kesenangan yang diberi oleh Allah s.w.t. Dengan kehendakNya juga, nikmat kesenangan itu boleh hilang dalam sekelip mata, janganlah dicela andai musibah yang datang menimpa, ketahuilah bahawa apabila kita sakit atau ditimpa sesuatu musibah, hakikatnya Allah s.w.t sedang memberikan perhatian kepada kita,bukankah itu satu kemuliaan? Sakit menjadikan kita teringat akan nikmat sihat yang Allah s.w.t kurniakan hanyalah pinjaman semata-mata. Segala yang kita miliki adalah milik mutlak Allah s.w.t,sakit adalah petanda bahawa kita adalah makhluk yang lemah, didatangkan sakit atau apa-apa musibah, adalah sebagai peringatan bahawa kita adalah hambaNya dan kita tidak patut bersifat sombong dan bongkak kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya musibah itu adalah pengubat kepada ‘ego’ yang ada di dalam diri. Dalam keadaan sakit, kita lebih mudah mengingati Allah,merasa kelemahan dan ketidakmampuan di hadapanNya,bila kita sakit kita akan bersungguh-sungguh memohon perlindungan kepada Allah s.w.t, mungkin selama ini kita lalai, jarang-jarang orang merasakan nikmat ketika sakit, namun bagi orang yang banyak bersyukur dan bersabar dalam menghadapi kesakitan, ia akan memperolehi satukenikmatan.
Maka dengan itu jika kita ditimpa sebarang musibah jangan sekali-kali mendapatkan rawatan dari meraka yang mensyirikkan Allah s.w.t, sebagai tanda kita berterima kasih kepada Allah kerana memberikan kita kesedaran melalui sakit, maka jangan pula kita mengundang kemurkaanNya, di sini kita dapat lihat betapa pentingnya ikhtiar penyembuhan melalui kaedah yang benar-benar menepati kehendak syarak dan bukan acuan yang melanggar kesucian akidah kita selama ini.
artikal ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis dan sebahagiannya dipetik dari alam maya...